BUKIT MERTAJAM: Seorang ibu tunggal mendakwa enam anaknya berusia lapan hingga 17 tahun yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Bukit Tengah, di sini didera pekerja di situ sejak empat tahun lepas. Pang Lan Cheng, 45, seorang pembantu kedai makan berkata perkara itu diketahuinya selepas anak ketiganya melarikan diri dari rumah kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan pada 5 Julai lepas, kerana tidak tahan didera. "Sebelum ini saya tinggal di Butterworth tetapi sejak empat tahun lepas saya pulang ke kampung di Masai, Johor selepas berpisah dengan suami manakala semua anak saya ditempatkan di rumah kebajikan itu kerana saya tidak mampu menyara mereka. "Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dan gaji tidak sampai RM1,000 sebulan, jadi memang wang itu tidak cukup untuk perbelanjaan keluarga besar kami," katanya pada sidang akhbar di sini Ahad. Katanya selepas anak lelakinya, Yeo Soon Jie, 14, berjaya melarikan diri dan pulang ke Masai memaklumkan kejadian yang menimpa adik beradiknya yang lain, beliau terus ke rumah kebajikan terbabit untuk melihat anak-anaknya. Pang berkata beliau mendapati ada beberapa kesan kecederaan dan lebam di badan anak-anaknya termasuk anak perempuannya Yeo Soon Chuan, 17, yang mendakwa turut diganggu secara seksual oleh pekerja di situ. Ekoran kejadian itu, katanya, beliau membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis supaya siasatan lanjut ke atas rumah kebajikan itu dapat dijalankan. Empat daripada anaknya ketika ini ditempatkan sementara di JKM manakala Soon Jie dan Yeo Soon Yun, 8, masih bersamanya kerana sedang menerima rawatan. Soon Jie yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata bukan hanya beliau dan adik beradiknya yang dipukul dan didera malah kira-kira 30 penghuni di situ turut sering dipukul walaupun hanya melakukan kesalahan kecil. "Hari itu saya nekad melarikan diri dengan menggunakan tangga bagi memanjat tembok di belakang rumah kebajikan sebelum berjalan kira-kira lima kilometer untuk ke stesen bas di Berapit dan pada masa sama, meminta sedekah daripada orang ramai untuk membeli tiket bas balik ke Johor," katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi Bernama berkata polis telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. "Setakat ini masih belum ada sesiapa yang ditahan dan polis akan mendapatkan keterangan daripada saksi lain terlebih dahulu bagi membantu siasatan," katanya. Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan 354 Kanun Keseksaan iaitu mencedera serta mencabul kehormatan.