suria

Waris Mangsa MH17 Minta Kerajaan Bertindak Lebih Agresif

SHAH ALAM: Waris mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terus menuntut keadilan berikutan masih tiada keputusan konkrit mengenai dalang yang menembak jatuh pesawat itu di timur Ukraine selepas dua tahun tragedi berlaku.

Sehubungan itu, sekumpulan waris pada ulang tahun kedua nahas itu pada Ahad meminta kerajaan supaya mengambil tindakan lebih agresif berhubung insiden MH17.

Mariyam Yusoff, 47, berkata, tiada keputusan yang dibuat berhubung pihak seharusnya bertanggungjawab menyebabkan nahas yang berlaku seolah-olah dipandang sepi.

Isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin ini memberitahu, kes tersebut perlu disegerakan demi menegakkan keadilan.

“Dah dua tahun kami menunggu, tak tahu apa cerita. Senyap sepi, seolah-olah tak jadi apa-apa. Dah dua tahun ini, saya harapkan keadilan untuk suami saya dan waris-waris MH17. 

“Kita nak tahu siapa tembak, sebab apa. Saya hanya mahu keadilan untuk semua mangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis tahlil sempena ulang tahun kedua tragedi MH17 di kediamannya di Alam Impian di sini, Ahad.

Ibu tunggal kepada Wan Yunus Uzair, 13, dan Wan Yusuf Irfan, 11, berkata, waris sukar mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab tanpa keputusan konkrit.

“Kalau kita nak saman, nak saman siapa? Kita tak tahu siapa. Ukraine ke Rusia ke,” kata Mariyam sambil menambah tanpa keputusan itu juga menyukarkan waris membuat tuntutan berhubung pampasan insurans.

Sehubungan itu, Mariyam meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar rintihan waris dan menyelami perasaan mangsa MH17 supaya mempercepatkan tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, Mohamed Affendi Khairuddin, 45, berkata, setakat ini waris hanya dikhabarkan mengenai jaminan daripada kerajaan untuk mendapatkan keadilan berhubung nahas MH17.

Suami kepada Ketua Pramugari MH17, Allahyarham Mastura Mustafa mendakwa, pihak kerajaan tidak menghubungi waris berhubung perkembangan berkaitan. 

“Ia sekadar jaminan sahaja, tetapi kami tidak dipanggil untuk berbincang atau mengetahui perkembangan selanjutnya mengenai apakah yang kerajaan akan buat. Kami kecewa,” katanya sambil menambah pihaknya bersama enam lagi waris mangsa MH17 merancang untuk mengambil tindakan undang-undang dalam waktu terdekat. 

Mohamed Affendi memberitahu, tujuh waris membabitkan lima anak kapal dan dua penumpang mahu membuat tuntutan terhadap MAS kerana menerbangkan pesawat MH17 di zon konflik di timur Ukraine sehingga menyebabkan ia ditembak jatuh.

Pesawat jenis Boeing B777 itu, yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Pada Ahad, Perdana Menteri berkata, Malaysia terus memperjuangkan keadilan mengenai nahas MH17 melalui saluran undang-undang antarabangsa.

"Dua tahun lepas, Penerbangan MH17 ditembak jatuh di Ukraine. Ia suatu perbuatan jenayah yang menimbulkan kemarahan dunia dan menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya maut. 

“Kami tidak akan sekali-kali melupakan penumpang dan anak kapal berkenaan, juga kepiluan yang dirasai keluarga mangsa. Doa dan harapan kami mengiringi mereka dalam melalui hari-hari yang amat menyedihkan itu," kata Najib dalam catatan melalui akaun Facebook dan Twitter beliau pada Ahad.

Pada Sabtu pula, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia berharap akan menerima rumusan awal laporan penyelidikan forensik mengenai MH17 oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), yang dianggotai Australia, Brazil, Belgium, Belanda dan Ukraine, menjelang akhir tahun ini, termasuk jenis senjata yang digunakan dan maklumat penting lain secara terperinci. 

Pesawat malang itu ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan dilanda ketegangan di Ukraine berhampiran sempadan Rusia. 

Tahun lepas, pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra mengesahkan pesawat itu ditembak dengan peluru berpandu permukaan ke udara Buk di ruang udara timur Ukraine. 

Laporan itu dikeluarkan selepas pasukan penyiasat bersama dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia menjalankan siasatan selama 15 bulan.

Artikel Lain