suria

Jalan Tutup Bagi Kerja MRT

KUALA LUMPUR: Lencongan trafik pada waktu malam di Persiaran Surian berhampiran Sunway Giza Mall atau Dataran Sunway selepas persimpangan bertingkat Persiaran Mahogani akan bermula malam Isnin hingga Ahad.

Syarikat MMC-Gamuda dalam kenyataannya berkata lencongan itu adalah untuk membolehkan kerja membina jalan bagi projek Aliran Transit Massa (MRT), dan ia akan bermula dari pukul 10 malam hingga 5 pagi setiap hari.

Sewaktu penutupan itu, pengguna dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju Persiaran Mohagani, Persiaran Surian (arah Sungai Buloh) perlu membelok ke kanan ke Jalan PJU 5/1 di Sunway Nexis, dan kemudian membelok ke kiri ke Jalan PJU 5/19, dan ke kiri sekali lagi ke Persiaran Mahogani untuk kembali ke Persiaran Surian.

Pengguna yang menuju ke LDP pula akan dilencongkan ke Persiaran Mahogani, sebelum membelok ke kanan ke Jalan PJU 5/19 dan sekali lagi belok ke kanan ke Jalan PJU 5/1 untuk kembali ke Persiaran Surian berdekatan Sunway Nexis.

MMC-Gamuda juga akan meneruskan Pelan Pengurusan Trafik sepanjang Lebuhraya LDP secara berselang dari 20 Julai hingga 3 Ogos dari 11 malam hingga 6 pagi.

Pelan itu membabitkan penutupan satu lorong di SS21 Damansara Utama (arah Kepong) dan kedua-dua arah Persiaran Bandar Utama dari Dataran Bandar Utama untuk keluar ke Lebuhraya LDP

Satu lagi penutupan adalah sepanjang Lebuhraya LDP dari persimpangan Sri Pentas ke One Utama (sayap baru) dari 12 tengah malam sehingga 8 pagi pada Sabtu dan Ahad.

Sewaktu penutupan itu, pengguna dari SS2 Lebuhraya LDP (arah Kepong) dan dari Jalan Damansara yang mahu ke Persiaran Bandar Utama perlu memandu 250 meter ke depan untuk membelok ke kiri ke Persiaran Surian, di mana mereka boleh menggunakan kawasan Bandar Utama untuk membelok ke kiri di Dataran Bandar Utama.

Sementara itu, pengguna dari Lebuhraya Sprint yang mahu ke Bandar Utama perlu menuju ke One Utama dari Lebuh Bandar Utama.

Menurut kenyataan itu lagi, laluan kontra di Jalan Sungai Buloh dan Jalan Welfare akan diadakan dari 22 Julai hingga 30 September antara pukul 11 malam hingga 5 pagi, dan penutupan laluan di Jalan Sungai Buloh (arah Kuala Selangor dan Subang) akan diadakan secara berselang. - BERNAMA


penutupan jalan, MRT, MMC-Gamuda

Artikel Lain