GEORGE TOWN: Pelancong dilihat terpaksa mengheret bagasi mereka meredah balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang dinaiki air berikutan air banjir melimpah masuk ke dalam ruang tersebut. Namun, penerbangan dan pelepasan dari lapangan terbang itu masih diteruskan. Warga Amerika, Trisha Goulding, 29, berkata agak sukar untuk mengheret bagasinya dalam keadaan balai ketibaan dinaiki air. "Pesawat kami terpaksa berlegar di udara seketika sebelum mendarat," katanya. Seorang kakitangan Tourism Malaysia berkata ruang balai ketibaan mula dinaiki air kira-kira pukul 5 petang. "Paras air kurang daripada 0.3 meter di sini tetapi agak tinggi di kawasan menunggu di luar," katanya ketika ditemui di lokasi.