GEORGE TOWN: Beberapa kawasan di Teluk Bahang di sini dilanda banjir teruk susulan hujan lebat sejak pukul 1 petang Isnin. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata ribut petir dan angin kencang turut dilaporkan berlaku. "Paras air meningkat sehingga 0.3 meter. "Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sudah pun berada di kawasan terjejas untuk memberikan bantuan dan melakukan kerja pembersihan selepas banjir surut," katanya. Antara kawasan yang terjejas akibat banjir itu adalah di Kampung Teluk Awak dan Kampung Nelayan yang terletak berhampiran sungai. Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan ada beberapa rumah berhampiran sungai sudah ditenggelami air. "Kita sudah menghantar anggota penyelamat ke sana untuk memberikan bantuan kepada penduduk. "Setakat ini, kita belum menerima laporan kemalangan jiwa dan ada beberapa kawasan dinaiki air hingga paras pinggang," katanya. Gambar ihsan pembaca mStar Online.