"Setakat ini, tiada tuntutan wang tebusan diterima daripada mana-mana pihak tetapi saya percaya penculikan terbaharu itu didalangi kumpulan sama yang terlibat dalam siri penculikan rakyat Malaysia dan pelancong asing sejak beberapa tahun lepas," katanya di sini pada Selasa.
Ahmad Zahid, yang tiba di New Delhi pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari ke India, berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Parti Bharatiya Janata, Ram Madhav, dan Menteri Perusahaan Negeri Telengana, K.T Rama Rao.
Laporan menyatakan bahawa sebuah bot tunda kosong dengan enjinnya masih hidup ditemukan terdampar di perairan Dent Haven, Tambisan, Lahad Datu pada Isnin.
Mereka dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.
Ditanya mengenai ancaman bunuh yang diterima oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia sama sekali tidak akan menjejaskan usaha pihak polis memerangi keganasan.
"Polis akan melakukan apa sahaja untuk memastikan keselamatan rakyat, tidak kira apa jua ancaman yang mereka terima," katanya.
Khalid dilaporkan terus menerima ancaman berikutan tindakan keras polis terhadap militan Daesh di negara ini.