KUALA LUMPUR: Lelaki yang membantu dalam carian pesawat MH370, Blaine Gibson menyerahkan serpihan dan barangan peribadi yang ditemuinya di Madagascar kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Selasa. Gibson, 59, dari Amerika Syarikat berkata, serpihan dan barangan peribadi itu mungkin datangnya daripada pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines. Kesan peribadi itu termasuklah beg tangan dan bagasi bersaiz kabin. "Tiada pengenalan atau nama untuk mengaitkannya dengan kapal terbang itu. Hanya pemeriksaan dan pengecaman oleh ahli keluarga atau analisis video keselamatan yang dapat menentukan," katanya kepada The Star Online, Selasa. Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan bahawa Gibson telah menyerahkan barang-barang itu dan berkata mereka akan menjalankan siasatan. Pada Mac, Gibson menemui sekeping serpihan di pantai Mozambique yang kemudiannya disahkan daripada Boeing 777. Gibson telah mengembara ke Australia, Myanmar, Maldives, Mauritius dan Pulau Reunion untuk mencari petunjuk mengenai pesawat yang hilang. Beliau berada di sini untuk menghadiri pameran dan persidangan Mencari dan Menyelamat Antarabangsa ke-5. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.