suria

Yayasan Star Sumbang RM165,500 Kepada Lima NGO

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Star Datuk Seri Wong Chun Wai (enam, kiri) bersama wakil daripada lima NGO yang menerima sumbangan daripada Yayasan Star selepas majlis penyampaian cek di Menara Star, Selasa. Turut hadir, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Star Datuk Dr Aminuddin Rouse (dua, kiri), Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Star dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Star Tan Sri Kuan Peng Soon (tiga, kiri). -fotoTHESTAR
PETALING JAYA: Apabila tiba musim hujan, penghuni Pusat Jagaan Orang-Orang Kurang Upaya Dan Terbiar Lovely terpaksa berdepan dengan masalah katil dan lantai basah kerana bumbungnya rosak teruk.

Bukan sahaja tidak selesa, air hujan yang menitis daripada bumbung bocor itu juga juga menimbulkan ancaman keselamatan kepada 78 penghuni, terutama mereka yang kurang upaya dari segi fizikal.

Namun, mereka kini boleh menarik nafas lega apabila Yayasan Star bermurah hati menghulurkan sumbangan sebanyak RM35,500 untuk membaiki kerosakan di situ.

"Bumbung ini berusia lebih dari 70 tahun dan terdapat banyak lubang dan kecacatan lain, jadi setiap kali hujan penghuni akan terjejas dengan bumbung yang bocor.

"Kos membaiki bumbung ini adalah kira-kira RM20,000, jadi saya benar-benar perlu berterima kasih kepada Yayasan Star kerana memberikan kami jumlah yang melebihi keperluan demi membantu penghuni di sini menjalani kehidupan yang lebih baik," kata presiden pusat jagaan ini, Datuk R. Gopinath.

Pusat Jagaan Orang-Orang Kurang Upaya Dan Terbiar Lovely adalah salah sebuah daripada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada dalam senarai penerima sumbangan Yayasan Star pada tahun ini.

Gopinath adalah antara wakil yang hadir dan menerima cek pada satu majlis yang diadakan di Menara Star, Selasa.

St Nicholas Home di Pulau Pinang adalah penerima jumlah terbesar tahun ini iaitu RM50,000, khusus untuk membiayai pendidikan dan peluang latihan bagi penghuni yang cacat penglihatan.


"Kami mempunyai 15 program untuk melatih mereka yang cacat penglihatan dan program-program ini melibatkan pelbagai peringkat umur, dari seawal satu tahun sehingga warga emas.

"Jumlah ini akan digunakan untuk membangunkan lebih banyak program baharu bagi membantu pelajar dan penghuni mempelajari kemahiran yang akan membolehkan mereka dapat berfungsi secara bebas," kata pengarah eksekutifnya, Daniel Soon.

Tiga organisasi lain yang menerima sumbangan daripada Yayasan Star tahun ini adalah Diabetes Malaysia (RM30,000), Pusat Jagaan Budaya Harapan (RM30,000) dan St John Ambulans Malaysia, Selatan Perak (RM20,000).

Ahli pemegang amanah Yayasan Star Datuk Dr Aminuddin Rouse berkata, sejumlah RM165,500 telah diberikan sebagai sumbangan tahunan pada tahun ini.

"Komitmen kami kekal iaitu memberi kembali apa yang kami terima daripada masyarakat dari segi keuntungan, kepada badan amal yang layak dalam pelbagai kategori, termasuk alam sekitar dan pendidikan," katanya.

Yayasan Star yang ditubuhkan pada 2004 merupakan cabang amal Kumpulan Media Star.

Artikel Lain