suria

Aksi Wheelie: Bapa Dua Anak, Dua Remaja Dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang bapa dan dua remaja masing-masing dipenjara tiga hari serta didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu, selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi 'wheelie'.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang bapa dua anak, R.Supramaniam, 23, juruteknik teknologi maklumat, Haris Subhan, 22, dan juruteknik, Muhammad Nasriq Abdullah, 22, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Supramaniam yang bekerja sebagai mekanik didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sambil melakukan aksi mengangkat roda hadapan motosikal (wheelie) yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Raja Laut, di sini, pada 5.30 petang, 19 Julai (semalam).

Haris Subhan didakwa menunggang motosikalnya dengan cara sama di persimpangan lampu isyarat Jalan Parlimen, di sini, pada 9.15 malam, 10 Julai lepas dan Muhammad Nasriq Abdullah dituduh melakukan kesalahan sama di Jalan Sultan Ismail, di sini, antara 10.15 dan 10.20 malam, 10 Julai lepas.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM15,000, serta lesen percubaan dibatalkan dan hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga, bagaimanapun Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Hashimah Hashim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga mereka ditahan polis ketika operasi keselamatan jalan raya di jalan-jalan berkenaan.-- Bernama


wheellie, penjara, Haris Subhan

Artikel Lain