PETALING JAYA: DAP tidak akan membuat keputusan melibatkan satu pihak sahaja dalam mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng. "Kami mahu berbincang dengan rakan-rakan. Apabila membuat keputusan bersama, perbincangan akan mengambil sedikit masa. "Sudah tentu, ia tidak akan mengambil masa yang lama tetapi kita mahu memberikan masa yang cukup," kata Guan Eng pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, Rabu. Sebelum sidang media, satu mesyuarat selama 90 minit dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan telah diadakan. Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut hadir dalam pertemuan dengan Guan Eng. "Atas semangat rakan-rakan gabungan, saya fikir kita perlu memberikan sedikit masa untuk perbincangan diadakan. "Sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri akan dilakukan atas semangat Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. "Ia tidak akan menjadi satu keputusan unilateral," katanya.