PETALING JAYA: Pelbagai persoalan melibatkan Lim Guan Eng bakal terjawab apabila Ketua Menteri Pulau Pinang itu dijadualkan mengadakan sidang media di pejabatnya di Komtar, Pulau Pinang, pada Rabu petang. Pihak media telah dimaklumkan supaya hadir di bangunan berkenaan untuk mendapatkan penjelasan terkini atau pengumuman yang bakal dibuat setiausaha agung DAP itu pada pukul 2.30 petang. Belum dapat disahkan intipati sidang media itu, bagaimanapun ia tentunya berkisar kepada tiga perkara utama berdasarkan isu semasa melibatkan Guan Eng. Pertama, sama ada Guan Eng akan mengumumkan beliau akan berundur sementara sehingga kes mahkamah melibatkannya selesai dan melantik individu tertentu bagi memangku jawatannya. Kedua, apakah anak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kini berdepan pertuduhan rasuah itu akan mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, sekali gus memberi laluan untuk mengadakan pilihan raya tergempar di negeri itu. Bagaimanapun, bukan sesuatu yang mengejutkan jika Guan Eng memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang atau meletak jawatan, sekali gus terus kekal memimpin negeri berkenaan. Setakat ini, wakil Pakatan Harapan dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali telah berkunjung ke negeri berkenaan pada Rabu untuk membincangkan isu sama dengan Guan Eng. Sebelum ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui pihaknya belum diyakinkan dengan cadangan untuk mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang. Keputusan untuk mengadakan pilihan raya di negeri itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada malam Isnin, menurut sumber-sumber Pakatan Harapan dari Selangor. Tiada butir-butir mengenai mesyuarat itu, tetapi difahamkan enam pemimpin DAP pergi untuk membentangkan kes kepada Dr Wan Azizah di rumahnya Bukit Segambut, Kuala Lumpur selepas mesyuarat itu. Pelbagai spekulasi dan desakan terhadap Guan Eng timbul apabila beliau dan ahli perniagaan Phang Li Khoon didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pada akhir Jun lalu. Guan Eng dan Li Khoon ditahan SPRM berhubung isu pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta yang dikatakan di bawah harga pasaran hartanah di kawasan itu.