Beliau berkata pengkategorian kawasan Mont Kiara, Bangsar, Sri Hartamas, Kepong dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang tersenarai dalam struktur pelan bandar raya sebagai CBD perlu dilihat semula demi kebaikan rakyat.
"Dalam struktur pelan bandar raya yang lama, kawasan terbabit dikategorikan sebagai kawasan CBD...itu kesilapan kita yang perlu saya lakukan pengubahsuaian.
"Jadi, kita akan dengar suara rakyat dan akan membuat pembaikan kerana pada pemahaman saya kawasan tersebut tidak termasuk dalam CDB," katanya ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementeriannya di sini Khamis.
Bagaimanapun, DBKL dilaporkan telah membatalkan kenaikan kadar parkir itu di Taman Tun Dr Ismail serta-merta selepas mengadakan perbincangan dengan Tengku Adnan semalam.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata pelaksanaan kadar baharu di kawasan CDB seperti Bukit Bintang dan Imbi akan diteruskan berikutan keadaan kawasan tersebut yang terlalu sesak.
Beliau berkata tempoh minimum meletak kenderaan selama dua jam dengan kadar RM2 bagi sejam pertama dan RM3 untuk jam berikutnya akan diteruskan dan sekiranya tempoh dua jam itu tamat, kenderaan terbabit akan disita dan dibawa ke depoh kenderaan DBKL.
Selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam ke kawasan bandar, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kemasukan kenderaan ke kawasan kesesakan tinggi kerana DBKL hanya mempunyai 46,000 meter parkir berbanding kira-kira tiga juta kenderaan yang memasuki ibu kota setiap hari, katanya.