PETALING JAYA: Beberapa kawasan di Kuala Lumpur mengalami kesesakan luar biasa akibat banjir kilat selepas hujan lebat melanda ibu negara petang Jumaat. Menurut akaun twitter @mytraffic Star Trafik, kesesakan trafik pada pukul 5 petang berlaku di sepanjang jalan-jalan utama dan di sekitar Kuala Lumpur. Kesesakan lalu lintas turut dilaporkan pada pukul 4 dari Seputeh ke Taman Desa, kemungkinkan besar disebabkan banjir kilat di kawasan itu. Sementara itu, air bertakung di laluan motosikal menimbulkan masalah kepada penunggang di Besraya berhampiran bank CIMB dari stesen LRT Pandan Jaya ke Pandan Indah. Pada pukul 4.45 petang, paras air di kedua-dua kawasan surut namun trafik dilaporkan masih perlahan. Sementara itu, kesesakan lalu lintas dilaporkan di sekitar Jalan Syed Putra (dari Mid Valley ke Kuen Cheng High School) dan di Jalan Sultan Iskandar (dari bangunan Parlimen ke PWTC). Pengguna jalan raya juga dijangka berdepan dengan kelewatan di sepanjang Kerinchi Link dari tol Pantai menuju ke ibu kota melalui Lebuhraya Persekutuan. Terowong SMART masih terbuka untuk lalu lintas di sepanjang kedua-dua arah.