KUALA LUMPUR: Seorang kerani wanita Unit Akaun dan Hasil, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju menangis apabila dihukum penjara empat tahun setelah mengaku bersalah melakukan samun bersenjata membabitkan wang tunai lebih RM700,000 milik JPJ awal bulan ini. Hakim Mahkamah Sesyen Zainal L. Salleh menjatuhkan hukuman terhadap Norzaisyima Ahmad Zaidin, 40, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 11 Julai lepas. Dalam penghakimannya, beliau berkata kesalahan Norzaisyima adalah serius kerana tertuduh merupakan pekerja dan orang yang diamanahkan di jabatan itu. "Tindakan kamu diibaratkan seperti harapkan pegar, pegar makan padi.Tidakkah kamu memikirkan anak-anak kamu sebelum melakukan kesalahan itu? Sebagai manusia, kita seharusnya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. "Kesempitan hidup dan berhutang dengan 'along' bukanlah alasan untuk melakukan sesuatu kesalahan...tindakan kamu umpama nasi sudah menjadi bubur," kata Zainal sambil menjelaskan mahkamah turut mengambil kira kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. Norzaisyima, ibu tujuh anak, dan seorang lagi yang masih bebas didakwa menggunakan parang untuk merompak wang tunai berjumlah RM754,840.30 milik JPJ Malaysia di Kaunter Unit Akaun dan Hasil, JPJ Wangsa Maju di sini, pada 5.30 petang, 4 Julai lepas. Tertuduh, yang berselendang biru dan berbaju kurung merah jambu, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, yang dipercayai perancang utama kes samun itu, kerana kesalahan yang dilakukannya serius selain memberi pengajaran kepada orang awam. Sementara itu, penggali kubur Shamsuri Abd Karim, 40, dan penghantar surat Mohamad Afif Hussin, 26, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama yang dibacakan terhadap mereka. Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Peguam Shalehhuddin Salam mewakili Shamsuri, manakala Norzaisyima dan Mohamad Afif tidak diwakili peguam. Pada hari kejadian, dua lelaki bersenjatakan parang dan bertopi keledar masuk ke pejabat berkenaan menggunakan pintu belakang yang tidak berkunci dan bertindak mengacukan parang ke arah seorang pegawai awam wanita sebelum merampas wang tunai di kaunter bilik Unit Akaun dan Hasil JPJ berkenaan. -Bernama