suria

Guru Dinasihat Kawal Emosi Ketika Laksana Hukuman

Kamalanathan (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan berkaitan personaliti pendidikan Tamil di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Golongan pendidik dinasihatkan supaya mengawal emosi dan tidak bertindak mencederakan pelajar ketika melaksanakan hukuman, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Katanya, kes mengenai pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang mendapat rawatan di sebuah hospital di Kelantan pada Selasa lalu adalah contoh terkini berkaitan perkara itu.

“Buat masa ini, nasihat serta kaunseling akan diberikan kepada guru berkenaan. Bagaimanapun, dia boleh ditamatkan perkhidmatan serta merta jika didapati bersalah dan laporan polis dibuat mengenainya. Bagaimanapun, kita masih menunggu hasil siasatan", katanya.

Kamalanathan turut memberi jaminan akan memastikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) membuat siasatan terperinci terhadap kejadian berkenaan bagi memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Pendidikan Tamil 200 Tahun di Malaysia pada Ahad.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Siti Nursyahida Zulkifli, 15, mendakwa ditampar di belakang kepalanya tiga kali sehingga dikatakan mengalami masalah saraf selepas didakwa mencukur keningnya.

Kejadian itu menjadi viral selepas sepupunya memuatnaik beberapa keping gambar menunjukkan pelajar tersebut mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.

Malahan, bapa kepada pelajar itu menerusi laman Facebook berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru berkenaan.

Akibat kejadian itu, anak sulung daripada empat beradik itu dibawa di Hospital Tanah Merah (HTM) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut selepas mengalami masalah saraf.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain