suria

Dua Lagi Mayat Mangsa Bot Karam Ditemui

JOHOR BARU: Dua lagi mayat mangsa bot pancung karam ditemukan di perairan Pantai Batu Layar, dekat Sungai Rengit, Kota Tinggi pagi Isnin menjadikan jumlah mangsa setakat ini 11 orang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata mayat kedua-dua lelaki dewasa tersebut ditemukan terdampar di kawasan pantai kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Ia ditemukan kira-kira 7.30 pagi Isnin selepas kejadian dua hari lepas.

"Jarak antara kedua-dua mayat yang ditemui itu dianggar sejauh 200 meter.

Mayat ditemukan anggota polis yang melakukan operasi penugasan mencari dan menyelamat mulai pagi tadi," katanya ketika dihubungi.

Bot itu dinaiki kira-kira 60 pendatang asing tanpa izin yang dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini menuju Batam, Indonesia.

Empat mayat ditemukan pada hari kejadian, sementara lima semalam termasuk seorang wanita dan bayi yang sedang dikandungnya.

Mangsa yang lemas setakat ini terdiri daripada empat lelaki dewasa, enam wanita dan seorang bayi perempuan.

Seramai 34 orang, 26 lelaki dan lapan wanita terselamat dalam kejadian itu. - BERNAMA

bot karam, Batam, Sungai Rengit

Artikel Lain