suria

Individu Dinamakan DOJ Perlu Bersihkan Nama - Najib

Najib Tun Razak.

PUTRAJAYA: Kerajaan mahu individu yang dinamakan dalam laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bertindak membersihkan nama masing-masing bagi memastikan tiada penyalahgunaan wang rakyat berlaku seperti dilaporkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mengambil serius laporan DOJ itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak dalam siasatan.

"Sebab itu bila keluar laporan DOJ, kerajaan tetap memandang berat perkara tersebut dan mahu supaya siapa yang dinamakan itu ambil tanggungjawab bersihkan nama mereka, pastikan tiada wang rakyat disalahgunakan.

"Jadi, janganlah kita terbawa-bawa dengan hal ini, serahkan kepada proses keadilan sewajarnya kerana kita percaya lambat laun kebenaran akan diketahui jua," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan surat tawaran menunaikan fardu haji 1437H/2016 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini Isnin.

Pada majlis itu, seramai 1,100 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat baru-baru ini memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Najib yang juga Menteri Kewangan menarik perhatian bahawa 1MDB sering menjadi bahan celaan walaupun telah menghabiskan ratusan juta ringgit menjayakan program-program sosial dan kemasyarakatan sejak penubuhannya.

Menjadikan program tajaan haji sebagai contoh, Perdana Menteri berkata bagaimanapun setiap apa yang dilakukan itu akan dipastikan prinsip kebertanggungjawaban menjaga harta rakyat tidak diabaikan sama sekali.

Najib berkata usaha memantapkan 1MDB akan terus dilakukan malah yakin serta percaya kedudukan 1MDB akan lebih mantap dan kukuh dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata program tajaan haji yang diilhamkannya sejak 2011 berjaya menghantar seramai 4,611 jemaah, yang merupakan menifestasi penghargaan kerajaan kepada golongan imam, JKKP dalam memainkan peranan memartabatkan syiar Islam di peringkat akar umbi.

Najib berkata sebanyak RM10.4 juta telah diperuntukkan Yayasan 1MDB bagi menjayakan program tersebut sepanjang tempoh itu.

Najib berkata kerajaan di bawah pimpinannya komited melaksanakan tanggungjawab meninggikan syiar Islam berpandukan prinsip Maqasid Syariah.

Kepada bakal jemaah haji, Perdana Menteri berharap mereka dapat menggunakan kesempatan itu mendoakan kesejahteraan negara agar terhindar daripada tohmahan, selain berdoa untuk diri sendiri.

"Selain doa untuk diri sendiri, doa yang dipesan orang lain...harap tolong juga doakan untuk kebaikan negara semasa di Arafah dan Masjidil Haram yang afdal untuk berdoa," katanya.

Najib Tun Razak, DOJ, saman sivil

Artikel Sebelum

Artikel Lain