suria

Benarkah Pemilik Rayani Air Lari Ke India?

PETALING JAYA: Khabar angin mendakwa pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan yang juga pengasas bersama syarikat penerbangan itu lari ke India tersebar sejak minggu lalu.

Ia lebih rancak di kalangan pekerja Rayani Air dan difahamkan turut sampai ke pengetahuan sekumpulan pelanggan yang masing-masing masih menanti tunggakan gaji untuk dilunaskan dan bayaran balik tiket penerbangan.

Wakil pekerja Rayani Air, Zulkalnain Azdan berkata, sehingga kini beliau masih belum mengadakan pertemuan dengan pasangan suami isteri itu bagi membincangkan tentang usaha menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Zulkalnain yang juga Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan Karthiyani pada 15 Julai lalu dan dimaklumkan bahawa pasangan itu akan berlepas ke India pada hujung minggu tersebut.

"Saya ada hubungi Karthiyani untuk berjumpa pada Isnin, 18 Julai tetapi katanya akan ke India untuk urusan pelabur. Saya ada mesej dia beberapa kali dalam tempoh beberapa hari selepas itu untuk bertanyakan perkembangan mengenai pelabur tetapi tiada jawapan.

"Saya dapat tahu timbul khabar angin mengenai mereka mahu lari ke India, dan ia tersebar di kalangan pekerja. Ramai pekerja bertanya kepada saya mengenai kesahihan dakwaan itu.

"Tetapi mesej dan pertanyaan saya juga tidak dijawab Karthiyani, jadi bagaimana saya hendak jelaskan kepada pekerja, sedangkan saya sendiri pun tak tahu perkembangan dan perkara sebenar," katanya kepada mStar Online.

Zulkalnain berkata, tindakan pasangan itu yang 'menyepikan diri' seolah-olah mengetepikan syarat yang dipersetujui Ravi untuk kumpulan pekerja membantu dan memberi kerjasama bagi menghidupkan kembali syarikat penerbangan itu.

Tambah Zulkalnain, beliau ketika ini sedang berusaha untuk mengembalikan kepercayaan pekerja terhadap pemilik Rayani Air selepas syarikat penerbangan itu bermasalah.

"Pekerja perlu diyakinkan untuk sama-sama membantu menyelamatkan Rayani Air. Tetapi kalau Karthiyani dan Ravi senyap dan tidak melibatkan saya sebagai wakil pekerja dalam urusan pelabur, nanti pekerja hilang kepercayaan terhadap saya pula," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pasangan itu supaya segera memaklumkan perkembangan dan mengadakan perbincangannya bersama sekembalinya ke tanah air.

Sementara itu, Ravi dan Karthiyani mengesahkan kepada mStar Online bahawa pasangan itu kini berada di India untuk tujuan mendapatkan pelabur, dan bukannya melarikan diri seperti yang didakwa.

"Kami masih di India mencari pelabur. Ada urusan dengan satu lagi pelabur," kata Karthiyani menerusi aplikasi WhatsApp sambil menambah akan pulang ke Malaysia pada 28 Julai.

Ravi pula berkata, urusan mencari pelabur kini masih dalam peringkat perbincangan bersama pihak berkenaan.

"Mereka sedang membuat penilaian. Bukan mudah untuk dapatkan syarikat penerbangan lain bagi mengadakan kerjasama," kata Ravi sambil menambah terdapat dua pelabur di India tetapi tidak mengulas mengenai satu lagi pelabur.

Bagaimanapun difahamkan salah satu pelabur merupakan syarikat penerbangan yang berpangkalan di selatan India.

"Ada beberapa (pelabur berpotensi) yang kita sedang lihat. Kita akan memaklumkannya bila sudah pasti," ujar Karthiyani mengenai masa yang lama berada di India.

Pada 15 Julai lalu, mStar Online melaporkan Ravi bersetuju mengikut tiga syarat yang dikenakan sekumpulan pekerjanya bagi menghidupkan kembali syarikat penerbangan itu.

Tiga syarat itu ialah – Ravi dan Karthiyani tidak lagi menerajui Rayani Air dan pengurusan perlu dikendalikan pelabur - urusan permohonan lesen dan pelabur perlu membabitkan wakil pekerja dan perjanjian pelaburan dilakukan di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) - penstrukturan semula pengurusan dilakukan pelabur tanpa campur tangan Ravi dan Karthiyani.

Terdahulu, Zulkalnain menegaskan bahawa tiga syarat buat Ravi bertujuan untuk menjaga kepentingan semua pihak termasuk pelabur, pekerja dan pelanggan, selain memastikan segala urusan sepanjang proses berkenaan dilakukan dengan telus dan lancar.

Pada 13 Jun, Mavcom membuat keputusan membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) milik Rayani Air kerana telah melanggar syarat-syarat lesen berkenaan selain kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial. 

Ia diikuti pembatalan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada hari sama.

Dilaporkan Rayani Air perlu membuat permohonan baharu ASL dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, bagi membolehkan ia dapat beroperasi semula sebagai syarikat penerbangan komersial.

Difahamkan, Rayani Air perlu memohon ASL daripada Mavcom terlebih dahulu, sebelum mendapatkan AOC daripada DCA.

Rayani Air, Ravi Alagendrran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain