KUALA LUMPUR: Ramai pengguna Malaysia yang kian sofistikated dari segi teknologi, ternyata masih kurang berpuas hati dengan pengalaman dalam talian biarpun mereka secara amnya positif terhadap keupayaan itu menggunakan jenama tempatan. Hasil dapatan Laporan Pengalaman Digital SAP yang diadakan buat pertama kali menunjukkan seramai 43 peratus daripada 500 pengguna Malaysia secara amnya berpuas hati dengan pengalaman digital mereka, 26 peratus berpendapat sebaliknya manakala 31 peratus tidak menyokong mana-mana pandangan itu. Ini sekali gus meletakkan Malaysia meraih markah 17 peratus dari segi pengalaman digital. Pengarah Urusan SAP Malaysia Sdn Bhd, Terrence Yong menyifatkan Malaysia sedang menikmati kerancakan pembangunan digitalnya berikutan kehadiran 14 juta pengguna kemudahan itu. "Kepesatan pembangunan itu turut menjadikan pelanggan Malaysia jauh lebih sofistikated dari segi pemilihan digital. "Bagi membantu mereka melayari pelbagai gajet dan aplikasi, para pengguna hanya mahukan pengalaman khusus, mudah dan lancar menerusi sebarang saluran dan peranti," katanya kepada media ketika mengumumkan hasil Laporan Pengalaman Digital SAP berkenaan, di sini, Selasa. Tinjauan bagi mendapatkan maklum balas pengguna sekitar Asia Tenggara dari lima negara iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia. Hasil dapatan itu turut memaparkan minat serta keutamaan lebih 3,600 pengguna yang menilai lebih 240 jenama membabitkan 9,735 interaksi digital berbanding 14 ciri. Dalam tinjauan itu, pengalaman digital itu merujuk kepada bagaimana interaksi antara satu-satu jenama dengan pelanggannya merangkumi proses pendedahan awal mengenai jenama itu, pembelian, penghantaran dan sokongan terhadap produk atau servis. Pengguna menilai jenama atau keupayaannya berasaskan 14 perkara membabitkan pengalaman digital termasuk aspek fungsinya seperti keselamatan dan kemampuan dari segi emosional merangkumi aktiviti saling interaktif. "Jenama boleh menjadi penghubung jurang digital menerusi pelaksanaan strategi digital yang jelas serta turut membabitkan aspek pemasaran, jualan, perkhidmatan dan perdagangan bagi memastikan kelancaran pengalaman digital pengguna," kata Yong.