suria

Dua Rakan Dipenjara Sehari Curi Baju Manchester United

Jersi baharu Manchester United diperkenal kepada umum pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang pembekal dan seorang jurujual bahagian sukan masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana mencuri pakaian dalam, empat baju Manchester United dan beberapa barang lain di sebuah pasar raya.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Norshahar Jamil, 32, dan Nur Adila Ismail, 21, selepas mereka mengaku bersalah mencuri empat helai baju Manchester United, pakaian dalam lelaki dan wanita serta dua buah beg sukan bernilai keseluruhannya RM720.90.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Aeon Quill City Mall, Kompleks Beli Belah Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail di sini pada 3.10 petang, 26 Julai lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu peguam 'Azi 'Azlin Zulkifli yang mewakili mereka memohon hukuman penjara dan denda minimum kerana kedua-dua tertuduh telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaidariah Ahmad memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kekerapan kes curi berlaku.

 

Artikel Berikut

Artikel Lain