suria

15 Cedera, Seorang Maut Bas Terbalik Menuruni Genting Highlands

KUANTAN: Sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang disahkan terbalik di KM17.2 semasa menuruni Genting Highlands, malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata kejadian itu menyebabkan 15 penumpang cedera, manakala pemandu bas yang tersepit di dalam bas berkenaan maut.

Pemandu bas dikenal pasti sebagai Tan Ching Kok, 50.

"Bas berkenaan dimiliki syarikat HTC Travels dan penumpang yang terlibat dipercayai warga negara China," katanya menerusi pesanan ringkas Whatsapp malam Rabu.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Engku Fadzir Engku Man berkata pasukan bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan hidraulik.

Menurut beliau, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Penumpang yang tidak mengalami sebarang kecederaan dihantar pulang ke hotel masing-masing.

Beliau berkata bomba menerima panggilan mengenai nahas itu pada 7.19 malam, sebelum sebuah jentera dengan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.


Artikel Lain