KUALA LUMPUR: Saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang didakwa diselewengkan, tidak akan menjejaskan penarafan negara, kata Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu berkata, malah saman sivil itu bukan mengenai ekonomi. "Ia tidak kena mengena dengan ekonomi," katanya ketika menjawab soalan anggota media selepas menutup program perintis Bahasa Inggeris 1Malaysia (BI1M) di sini, Jumaat. Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset yang diperoleh dengan wang yang didakwa diseleweng daripada 1MDB. Ketika ditanya mengenai penurunan taraf Penarafan Mungkir Penerbit Mata Wang Tempatan dan Asing Jangka Panjang Petronas kepada 'A-' daripada 'A' oleh Fitch Ratings baru-baru ini, Mohd Irwan Serigar berkata, ia adalah 'perkara sementara. "Petronas ialah entiti yang menjana keuntungan dan dari segi prestasi ia baik, tetapi disebabkan persekitaran dunia - harga minyak dan sebagainya - ia adalah satu perkara sementara. "Dari segi pewujudan pekerjaan, Petronas masih mewujudkan peluang pekerjaan, projek Rapid (Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan Minyak dan Petrokimia) masih diteruskan, oleh itu tiada kebimbangan mengenai penarafan pada masa depan," tambah beliau.-- Bernama