SUNGAI PETANI: Barang kemas bernilai lebih RM800,000 dilarikan dari sebuah kedai emas di Jalan Pengkalan di sini pagi Sabtu. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata kejadian itu disedari seorang pekerja wanita di premis tersebut sewaktu dia datang untuk bekerja kira-kira 10 pagi. "Pekerja berkenaan mendapati bumbung siling pada bahagian tengah kedai dan bahagian pejabat telah berlubang. Dia juga mendapati dinding di tepi peti besi telah dipotong dan barangan kemas pelbagai jenis telah hilang," katanya. Beliau berkata peralatan kamera litar tertutup (CCTV) juga didapati telah dirosakkan. Kejadian dipercayai dilakukan sekurang-kurangnya tiga individu, katanya.-Bernama