KOTA KINABALU: Pelaksanaan dasar gaji minimum yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, mampu meningkatkan pendapatan pekerja tempatan, sekali gus meningkatkan ekonomi negara dalam mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata dasar gaji minimum yang dilaksanakan melalui pendekatan berimbang antara majikan dan pekerja berkenaan juga akan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pekerja asing. "Ia (dasar gaji minimum) juga dapat mengurangkan kadar kemiskinan negeri Sabah yang kini sebanyak empat peratus," katanya dalam teks ucapannya sempena perasmian Program Kembara Kerjaya Sabah, Konvoi Kembara dan Karnival Pekerjaan 2016 di sini, Ahad. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Adenan Ab Rahman. Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Kamal Pardi. Menurut Riot Malaysia tidak lagi mahu bergantung kepada kos buruh yang rendah untuk bersaing dalam pasaran global kerana Malaysia tidak lagi mampu dan mempunyai kelebihan daya saing jika dibandingkan dengan negara jiran yang memilik buruh yang ramai dan murah. Katanya melalui peningkatan kadar gaji minimum ini, tenaga kerja tempatan mendapat manfaat kerana pelaksanaan gaji minimum akan meningkatkan kos pengambilan tenaga kerja asing kerana majikan terpaksa membayar levi serta caj lain, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan. Bercakap kepada pemberita kemudian Adenan berkata pelaksanaan dasar gaji minimum berkenaan telah diterima semua pihak kerana sebelum pelaksanaannya perbincangan mendalam melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja telah dilakukan. Katanya, masa secukupnya juga telah diberikan kepada semua pihak untuk menimbangkan segala aspek berhubung dasar itu dan sebelum kerajaan menetapkan kadar gaji minimum. "Penguatkuasaan akan dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah. JTK akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan dasar berkenaan dipatuhi majikan," katanya.