SEREMBAN: Kerajaan negeri akan membantu menanggung perbelanjaan membawa pulang Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi Mara Negeri Sembilan, Mohamad Sahar Mhd Noor yang terlantar di Charing Cross Hospital di barat London. Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri akan membantu mencukupkan kos membawa pulang Mohamad Sahar. "Ini adalah merupakan ehsan dari kerajaan negeri untuk kita pastikan supaya pesakit serta keluarga dapat dibawa balik ke tanah air dengan selamat. "Kita akan bantu dan apa saja yang kurang kita akan tambah selain apa yang telah dibantu oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), demi sesama manusia," katanya kepada media semasa menghadiri Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1437H peringkat Negeri Sembilan di sini, Ahad. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah. Mohamad Sahar, 57, dilaporkan diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lalu ketika dalam perjalanan untuk menghadiri majlis graduasi anak perempuannya, Atikah yang menamatkan pengajian peringkat sarjana. Sementara itu, Mohamad turut menasihati para jemaah agar jangan terpisah dari rombongan dan tidak terlampau terdedah di bawah matahari kerana cuaca di sana amat panas selain memperbanyakkan minum air. "Kepada semua jemaah Malaysia, jika ada apa-apa seperti tunjuk perasaan, jangan campur, kerana kita tidak tahu apa kemungkinan yang akan berlaku. "Masing-masing bawa hal sendiri dan tolong sesama jemaah supaya dapat kita pastikan sesama kita dalam keadaan selamat dan sejahtera di sana," katanya. Pada tahun ini, seramai 920 orang bakal jemaah haji dari Negeri Sembilan akan menunaikan haji. Kursus Prdana Haji yang diadakan selama dua hari bermula semalam, diadakan bertujuan untuk mengulang kaji dan menyampaikan maklumat terkini dalam bentuk yang lebih praktikal sebagai persiapan sebelum bakal-bakal haji bertolak ke tanah suci.