suria

Hotlink, Grab Malaysia Jalin Kerjasama Hiburkan Peminat Pokemon Go

KUALA LUMPUR: Mengambil kira spekulasi bahawa Pokemon Go mungkin akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, Hotlink dan Grab Malaysia, yang juga menguruskan perkhidmatan perkongsian perjalanan GrabCar, mula melancarkan kempen publisiti bagi mempromosikan kerjasama dua syarikat, khas buat peminat permainan ini.

Kedua-dua syarikat mengumumkan bahawa dalam tempoh dua hari pertama selepas pelancaran permainan realiti popular ini, pemain boleh menempah perjalanan percuma menaiki kereta khas PokeMobile melalui aplikasi mudah alih Grab ke destinasi pilihan mereka untuk menangkap Pokemon.

Dihias dengan sayap dan ekor Charizard, salah satu spesis dalam Pokemon, empat buah PokeMobile akan berada di sekitar Lembah Klang.

Penumpang PokeMobile yang menjadi pelanggan Hotlink juga akan diberi nilai PokeCoins sebanyak AS$100 (RM405) melalui Hotlink Cash Online. PokeCoins digunakan untuk membolehkan Pokemon naik ke tahap seterusnya dalam permainan ini.

Pelanggan Hotlink juga boleh menikmati diskaun 10 peratus untuk semua pembelian aplikasi dalam Pokemon Go, kata ketua bahagian kandungan Hotlink, Maybel Chan dari Hotlink.

"Semua orang cemas. Begitu juga kami. Pokemon Go akan datang, persoalannya hanyalah bila. Ia akan berlaku tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen itu di sini pagi Isnin.

Pengurus Negara Grab Malaysia Jaygan Fu berkata kempen itu juga akan membolehkan beberapa pemain bertuah memulakan pengalaman permainan mereka dengan selamat.

Pokemon Go yang telah dilancarkan di negara-negara lain telah dilaporkan menyebabkan beberapa kecederaan dan kemalangan gara-gara pemain yang terlalu asyik dengan telefon bimbit mereka.

"Kami mahu menggalakkan dan membantu pelatih memburu Pokemon dari satu PokeStop ke PokeStop lain dengan perjalanan selamat," katanya.

Maxis dan Grab Malaysia bagaimanapun tidak menyatakan bila permainan yang dinanti-nantikan ini akan muncul di sini, walaupun maklumat bocor menjangkakan ia akan berlaku pada bulan ini.

Malaysia, yang sebelum ini ketinggalan dalam kegilaan permainan Pokemon Go semasa pengumuman rekaan pelayan di lapan buah negara di Asia, akhirnya akan mendapat pelayannya sendiri tidak lama lagi.

Permainan ini memerlukan pemain keluar dari rumah dan 'menangkap' Pokemon melalui lokasi-geo pada telefon pintar mereka.

Pokemon Go pertama kali dilancarkan di Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan Britain.

Tetapi, Jepun, negara asal di mana syarikat permainan Nintendo memulakan francais makhluk-makhluk mitos 20 tahun lalu, terpaksa menunggu 12 hari selepas pelancarannya untuk menerima permainan ini.


Game Freak, pemaju utama Pokemon dan Niantic, yang juga rakan kongsinya dalam membangunkan permainan mudah alih baharu itu kemudian memohon maaf kepada masyarakat awam Jepun di atas kelewatan itu.

Artikel Lain