Perdana Menteri berkata, situasi politik terkini sedang dipantau dan beliau menunggu laporan daripada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.
"Kita akan tangani kedudukan politik di Terengganu agar ia tidak menyusahkan rakyat Terengganu dan saya sedang pantau, tunggu laporan daripada MB (Menteri Besar)," katanya kepada pemberita bagi merumuskan hasil lawatan kerja tiga hari di Jakarta yang berakhir Rabu.
Krisis politik di Terengganu dikatakan semakin tegang apabila bekas menteri besarnya Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal bakal dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana bertindak berlawanan dengan kerajaan pimpinan BN termasuk mengusul undi tidak percaya kepada Menteri Besar.
Ahmad dalam kenyatannya baru-baru ini berkata dua senario yang mungkin berlaku dalam masa terdekat di Terengganu ialah jika dewan undangan negeri digantung, kemudian pilihan raya mengejut mesti diadakan.
Namun, kata Ahmad, jika lebih daripada dua Adun Umno keluar parti maka pembangkang akan membentuk kerajaan negeri akan datang.
Ditanya sama ada kemungkinan akan berlaku pilihan raya di negeri itu, Najib berkata perkara itu tidak boleh diduga kerana ia bergantung kepada disiplin anggota (wakil rakyat) BN.
Bagaimanapun, katanya, semua Adun BN telah membuat akujanji menyokong BN dan beliau sendiri akan memantau perkembangan seterusnya.
Ahmad Razif dilantik sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Ahmad pada Mei 2014.