KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengucapkan selamat berjuang kepada semua atlet Malaysia yang akan beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Perdana Menteri berkata seluruh rakyat Malaysia akan memberikan sokongan padu kepada semua atlet negara pada temasya yang berlangsung bermula pada Jumaat hingga 21 Ogos ini. "Selamat berjuang buat semua atlet, dan ingatlah bahawa seluruh rakyat Malaysia menyokong dan bersorak untuk anda. Lakukanlah yang terbaik dan banggakan negara!" kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau, Jumaat. Sejumlah 32 atlet negara layak beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio. Malaysia menyandarkan harapan kepada beberapa atlet berpengalaman seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang, Pandelela Rinong untuk memburu pingat emas pertama negara dalam temasya berprestij itu. - BERNAMA