KUALA TERENGGANU:"Ia hanya khabar angin dan satu provokasi pihak tidak bertanggungjawab," itu jawapan yang diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi yang mendakwa enam orang exco dijangka memulaukan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 yang akan bersidang esok. A Latif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan juga berkata pemulauan berkenaan tidak mungkin berlaku kerana ketika ini kesemua exco berada teguh menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman. "Saya yakin ia tidak akan berlaku sebab ketika ini tahap kecintaan kami semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sangat tinggi terhadap Terengganu dan tidak mungkin akan berlaku perkara di luar jangkaan kerana kami tetap bersama MB (Menteri Besar)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Transformasi Terengganu Baharu (TTB) di Wisma Darul Iman di sini, Ahad. Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan akan berlaku 'perkara yang tidak dijangka' pada Sidang DUN esok, beliau mengharapkan tiada perkara luar biasa yang akan berlaku dan Sidang DUN dapat berlangsung seperti biasa. "Saya menaruh harapan agar Sidang DUN esok dapat berjalan lancar dengan tertib dan kita juga berharap Sidang DUN kali ini akan memberi impak dan kesan yang baik kepada negeri Terengganu," katanya. Mengenai gerakan 'gelombang kuning' yang didakwa cuba mengaitkan pihak istana Terengganu dalam memprotes kepimpinan kerajaan negeri, beliau berkata perkara berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. "Saya juga tidak pasti dari mana ia datang...saya cuma tahu mengenainya setelah ia diviralkan di media sosial. Saya harap ia dapat dibendung dan ada tindakan dari pihak polis untuk membendung kegiatan ini sebab kita tak mahu pihak yang dikaitkan terheret sama dalam politik negeri ini," katanya.--Bernama