suria

Gajah Di Kinabatangan Terancam Akibat Pembangunan Jalan Dan Jambatan

Kolar satelit dipasang pada gajah.

KINABATANGAN: Seekor gajah betina Borneo dipasang kolar satelit pada 3 Ogos dekat Pusat Lapangan Danau Girang di Lot 6, Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan sebagai sebahagian daripada projek kerjasama antara Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC). 

Pengarah DGFC, Dr Benoit Goossens berkata operasi pemasangan kolar satelit itu diketuai oleh pelajar PhD Malaysia Nurzhafarina Othman (Cardiff University, ditempatkan di DGFC) dan doktor veterinar hidupan liar Malaysia Dr Pakee Nagalingam dari Unit Penyelamat Hidupan Liar.

Goossens berkata DGFC dan SWD telah memasang kolar satelit pada 14 ekor gajah di Kinabatangan sejak 2008, yang menyediakan maklumat penting mengenai pergerakan sekawan gajah di sepanjang Sungai, kelompok-kelompok kecil hutan, kawasan ladang kelapa sawit, dan sekitar penempatan manusia seperti kampung Sukau, Bilit, Abai dan Batu Putih.

Beliau berkata, maklumat yang dikumpul selama bertahun-tahun daripada 14ekor gajah itu menunjukkan bahawa Sukau adalah kawasan tumpuan bagi pergerakan gajah-gajah.

"Kami menjangka kawasan itu akan mengalami konflik besar jika pembinaan jalan dan jambatan yang memisahkan santuari hidupan liar diteruskan.

"Jambatan tersebut akan menjejaskan usaha beberapa pertubuhan tidak terkecuali kerajaan Sabah sendiri, untuk mengekalkan kesambunganan habitat semula jadi dan populasi hidupan liar - terutama mamalia besar dan terancam seperti gajah, orang utan, beruang matahari, monyet Bangkatan atau nama saintifiknya "Proboscis Monkey" dan harimau bintang," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Goossens berkata kerajaan negeri telah mengisyhtiharkan Hilir Kinabatangan sebagai "Khazanah kepada Bumi pada 1999 dan kemudian mewartakannya sebagai Santuari Hidupan Liar pada 2005.

Ia antara lain bertujuan untuk memulihara habitat semula jadi di sepanjang sungai terpanjang di negeri ini, mengurangkan aktiviti memburu hidupan liar secara haram, membendung pencerobohan, dan memastikan haiwan liar selamat.

Beliau berkata, berjuta-juta ringgit telah dilaburkan untuk pemuliharaan dan memulihkan kelompok kecil kawasan hutan di sepanjang Sungai dan Sungai Kinabatangan telah menarik ratusan ribu pelancong dan menjana pendapatan berjuta-juta ringgit untuk kerajaan.

"Oleh itu, adalah kurang bijak untuk memusnahkan usaha selama bertahun-tahun untuk menjadikan kawasan ini sebagai koridor kehidupan, dengan membina jambatan dan menutup jalan yang memisahkan santuari tersebut kepada tiga kerana iatelahpun terpisah dua oleh jambatan Batu Putih.

"Berdasarkan data yang dikumpul selama lapan tahun daripada 14 ekor gajah di sepanjang Sungai Kinabatangan, saya dapat meramalkan konflik besar-besaran dikawasan Sukau, gajah akan dibunuh, manusia menjadi korban, dan kerajaan akan kehilangan berjuta-juta ringgit dalam usaha menangani konflik tersebut," kata Goossens.

Beliau berkata Elephant Family iaitu sebuah pertubuhan amal yang berpusat di London, Houston Zoo dan Columbus Zoo menyokong operasi memasang kolar satelit diKinabatangan selama lapan tahun. -Bernama

Kinabatangan, gajah terancam

Artikel Lain