BUKIT MERTAJAM: Dakwaan kononnya ada pemimpin kanan Umno dan menteri kabinet akan melompat menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan sebagai karut dan tidak masuk akal. Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkatadakwaan itu hanyalah propaganda yang sengaja ditimbulkan oleh pihak terdesak untuk mengelirukan orang ramai khususnya anggota Umno. "Tak betullah itu...saya tak ada maklumat mengenai perkara itu dan saya juga tidak percaya mengenainya. "Dakwaan itu juga hanyalah perang psikologi pihak sana (pembangkang)terhadap Umno sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Puteri Umno Permatang Pauh di sini, Ahad. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Saiddan Ketua Puteri Umno bahagian Nurshazana Mohamad Soberi. Tajuddin turut menasihatkan anggota parti supaya tidak mempercayai berita berkenaan. "Sekarang ini masanya untuk kita semua bersatu dan jangan hanya mendengar khabar angin yang mahu menjatuhkan parti keramat kita," katanya. Sebuah portal melaporkan bekas editor kanan New Straits Times, Firdaus Abdullah meramalkan beberapa pemimpin tertinggi Umno akan beralih kepada partibaharu Dr Mahathir dan pembangkang. Ini berlaku ekoran tindakan undang-undang Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa didapatkan menerusi wang dari dana pelaburan negara 1MDB yang disalahgunakan. Portal itu memetik Firdaus sebagai berkata, para pemimpin Umno itu telah memulakan perbincangan dengan Dr Mahathir. Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti politik baharu yang akan membawa agenda 'Selamatkan Malaysia' dan menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. -Bernama