KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan provokasi dan kekecohan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 yang akan berlangsung pada Isnin. Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak tidak kira pangkat atau kedudukan yang didapati dengan sengaja menimbulkan kekecohan atau huru hara semasa persidangan itu. "Jangan cemari persidangan DUN dengan insiden yang boleh menimbulkan rasakurang selesa dan huru hara kepada mana-mana pihak. "Sekali lagi saya mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kecoh pada persidangan itu berlangsung...biar ia berlansung dengan aman tanpa apa-apa (insiden)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Ahad. Sebelum ini, Polis Terengganu mengesan satu gerakan bergelar 'Gelombang Kuning' yang dipercayai cuba mengaitkan pihak Istana Terengganu dalam memprotes kepimpinan kerajaan negeri. Polis tidak menolak kemungkinan gerakan yang sama akan cuba membuat provokasi pada sidang DUN esok yang boleh menggugat ketenteraman awam. "Jadi saya menyeru kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan gerakan gelombang kuning ini kerana ia menyalahi di bawah Akta Hasutan. "Dan jangan mempercayai terdapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu danjangan cuba mengaibkan Istana di dalam gerakan ini," katanya. -Bernama