suria

Siasatan Dalaman Kes Guru Didakwa Rogol, Cabul Murid

Mahdzir Khalid.

JELEBU: Kementerian Pendidikan akan menjalankan siasatan dalaman berhubung kes guru didakwa mencabul dan merogol murid di Terengganu dan Sabah baru-baru ini, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata kes itu turut diserahkan kepada polis siasatan.

"Saya amat kecewa dengan berita seumpama ini bagaimana guru boleh (didakwa) terlibat dalam kes seumpama ini ...kes ini sudah jadi kes polis.

"Cuma kita di peringkat jabatan dan kementerian akan buat siasatan dalamanyang boleh menentukan bagaimana tindakan boleh diambil kepada penama sekiranya kes itu terbukti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Jelebu pada Ahad.  

Mahdzir berkata bahkan kes berkaitan skim cepat kaya yang turut melibatkan guru juga diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan.

Beliau juga berkata pihaknya akan meneliti kaedah yang sesuai bagi mencegah perkara seperti itu berleluasa. Baru-baru ini seorang guru berusia 50 tahun ditahan di Besut, Terengganu kerana didakwa mencabul tiga muridnya manakala seorang guru disiplin berusia 53 tahun di Telupid, Sabah turut ditahan atas dakwaan menodai tiga anak muridnya yang berusia antara 9 dan 10 tahun.

Mengenai aplikasi permainan Pokemon Go, Mahdzir berkata gajet tidakdibenarkan dibawa ke sekolah dan ia jelas termaktub dalam peraturan sekolah.

"Sekiranya berlaku, guru memang akan membuat rampasan. Kalau murid dan pelajar sekolah bawa dan bermain di luar waktu sekolah, itu adalah di dalam kawalan ibu bapa," katanya. -Bernama

Artikel Lain