suria

Ahli Umno Diminta Jaga Institusi Presiden Parti - Najib

TAIPING: Semua anggota Umno diingatkan supaya menjaga institusi presiden parti kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan parti keramat orang Melayu itu lemah, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sekiranya institusi presiden Umno diganggu gugat ia menyukarkan pemimpin yang dipilih untuk memimpin dan menjalankan tugas sekali gus menyebabkan parti menjadi lemah.

"Jaga parti dan institusi presiden Umno, bukan jaga saya. Love me as president (Sayangi saya sebagai presiden) kerana satu hari nanti pengganti saya bakal ambil alih (tugas presiden).

"Kalau parti lemah siapa yang akan menjadi ketua untuk membawa kita ke hadapan?, Maka untuk pastikan parti tidak lemah, semua peringkat bahagian perlu jaga keharmonian," katanya. 

Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak persidangan perwakilan Umno dan sayap Bahagian Bukit Gantang, Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) di sini, Ahad.

Najib memasukkan keris sebagai gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno dan sayap bahagian Bukit Gantang,Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar, Ahad.

"Selagi Umno berkuasa, kita boleh menuju masa depan baik. Jangan rosakkan Umno, jangan perlekehkan Umno, pastikan Umno terus berkuasa di bumi ini dan menjadi parti terunggul di dunia," tegas Najib. 

Najib turut mengingatkan anggota Umno supaya mempunyai kekuatan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran ketika ini kerana kelemahan akan turun mempengaruhi psikologi mereka.

"Kena ada keyakinan tapi jangan sombong, jangan angkuh dan mesti bertawaduk, jangan menunjuk-nunjuk. Kita mesti bersikap rendah diri kerana kita hendak berkhidmat kepada rakyat.

"Kalau (pemimpin) Umno ingat (berjuang) pasal rakyat, maka jagalah cawangan dengan baik. Jangan berpuak-puak, jangan jaga geng kita sahaja. Ini keluarga kita, kalau kita berjiwa besar banyak masalah akan selasai," katanya. 

Presiden Umno itu juga berpesan agar pemimpin dan anggota Umno berpegang kepada prinsip moraliti untuk terus dihormati.

Perdana Menteri menarik perhatian apabila berkata anggota Umno boleh mempunyai perbezaan pendapat, namun setiap percanggahan idea perlu ditangani dengan sebaik-baiknya mengikut sistem serta perlembagaan parti.

"Ikutlah budaya orang Melayu. Perbezaan pendapat itu perkara biasa, sedangkan dalam rumah tangga suami isteri pun kadang kala bermasam muka. 

"Kalau berbeza pendapat ada sempadan yang tidak boleh direntasi. Jangan cuba meruntuhkan institusi UMNO. Kita boleh berbeza pendapat, berselisih faham tapi jangan sesekali mengkhianati perjuangan yang suci," katanya. 

Dalam ucapannya selama kira-kira 40 minit itu, Najib turut mencabar kepimpinan Umno di Bahagian Bukit Gantang, Taiping dan Parit Buntar supaya memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Pada PRU13 lepas, ketiga-tiga kerusi Parlimen itu dimenangi pembangkang dan hanya Bagan Serai menjadi milik BN. 

"Lepas perhimpunan jangan bercakaran, tolonglah...ingat betapa susahnya kita nak mendapatkan kembali Perak daripada tangan pembangkang," katanya. -- Bernama


Umno, Taiping, Najib Tun Razak

Artikel Lain