KUALA LUMPUR: Demam Pokemon Go terus dirasai pelbagai golongan tanpa mengira latar belakang dan terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut memberi pandangannya tentang permainan itu. Khairy berkata beliau sentiasa menyokong sebarang bentuk aktiviti kecergasan asalkan ia dilakukan secara sederhana. "Di pejabat saya pun sekarang ada 'monster' Pokemon, staf saya ke pejabat saya bila saya tiada di sana. "Saya suka apa-apa saja yang menggalakkan kecergasan, tapi saya rasa apa sahaja yang kita lakukan kita kena bersederhana," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Barisan Nasional di sini, Selasa. Khairy berkata, bukan hanya permainan Pokemon Go, aspek kesederhanaan perlu diamalkan dalam segenap aspek kehidupan. "Tak kiralah sama ada Pokemon, makanan, jangan sampai keterlaluan, segalanya perlu bersederhana," katanya. Aplikasi yang direka oleh syarikat Niantic Incorporation daripada Nintendo Amerika Syarikat (AS) mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 75 juta orang memuat turun aplikasi permainan itu di Play Store dan App Store. Pokemon Go dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai, memasuki pasaran Malaysia dan lebih 30 negara lain pada Ahad. Permainan ini menggunakan kamera telefon pintar untuk mewujudkan satu pengalaman realiti di mana Pokemon kelihatan hadir secara fizikal di lokasi pemain.