BUTTERWORTH: Seorang pelanggan lelaki sebuah pusat hiburan keluarga di Jalan New Ferry, di sini maut selepas bumbung di situ yang dalam pembinaan runtuh dan menghempapnya pada Selasa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Khalil Abdul Rahim berkata mangsa, Rasidi Rashid, 55, maut di tempat kejadian kerana cedera parah selepas dihempap bumbung dalam insiden kira-kira pukul 7.20 pagi itu. Katanya bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.22 pagi dan jentera pertama bersama enam anggota dari BBP Butterworth tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian. "Sebaik tiba kami dapati bumbung pusat hiburan keluarga yang dalam pembinaan itu telah runtuh dan menghempap seorang lelaki yang dipercayai pelanggan di situ," katanya di sini Selasa. Beliau berkata kerja mengalihkan runtuhan bumbung itu dijalankan pihaknya bagi menyelamatkan mangsa tetapi lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan. Khalil berkata semasa kejadian dipercayai terdapat seorang lagi pelanggan lelaki di situ tetapi dia sempat menyelamatkan diri. "Operasi yang disertai tiga jentera bersama 11 pegawai dan anggota bomba itu ditamatkan pada pukul 8.50 pagi selepas memastikan kawasan runtuhan berkenaan selamat dan tiada sebarang unsur bahaya lain di situ," katanya. Difahamkan pusat hiburan keluarga itu beroperasi seperti biasa walaupaun bahagian bumbungnya dalam pembinaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan katanya mayat mangsa di hantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat. - BERNAMA