suria

Sindiket Dadah Tempatan Tumpas Dalam Operasi Sehari

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Maidu Abu Bakar (dua, kanan) bersama pegawai polis menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen, Selasa.

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan satu sindiket dadah tempatan dengan serbuan ke atas sebuah makmal dadah mini dan menangkap individu yang disyaki dalangnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Superitendan Maidu Abu Bakar berkata, polis merampas 1.3kg heroin, 0.89kg syabu dan beberapa jenis dadah dalam jumlah yang kecil, bernilai RM120,000. 

Beliau berkata polis juga menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 34 tahun, dipercayai rakan sejenayah di dalam tiga operasi itu.

"Kami percaya sindiket ini membekalkan dadah untuk pasaran tempatan dan berdasarkan risikan kami, mereka baru beroperasi selama dua bulan, kata Maidu dalam satu sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata semasa operasi itu, pihaknya menyita sebuan kereta, barang kemas, satu jam berjenama, peralatan memproses dadah dan wang tunai berjumlah RM592,150.

Dalam operasi pertama pada pukul 5.30 petang Ahad lepas di sebuah kawasan perumahan di Tanjung Tokong, polis menyerbu sebuah makmal dadah mini dan memberkas dua suspek bersama heroin, yaba, syabu, kafien, sebotol asid dan peralatan memproses dadah.

Berikutan operasi itu, polis menyerbu sebuah hotel di sekitar George Town pada pukul 8 malam hari yang sama dan menahan suspek ketiga bersama heroin dan syabu. 

Suspek ketiga kemudiannya membawa polis ke lokasi ketiga dan menemui dadah jenis ketamin dan syabu pada hari yang sama.

Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah ketika ditangkap dan ada yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, katanya.

Kesemua mereka direman shingga 14 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-- Bernama

dadah, Maidu Abu Bakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain