Nur Redzwan Wan Redzmann, 29, pemilik bengkel kereta dan tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di No 7, Jalan Watan 24, Taman Sri Watan, Ampang, di sini antara 25 Mac hingga 30 Jun lepas.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 130J (1)(a) kanun sama yangmemperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun, atau denda dan bolehlah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Okt untuk sebutan semula kes. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene.