JOHOR BAHARU: Seorang lelaki pada Rabu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dipercayai membunuh neneknya sendiri dengan memenggal kepala mangsa di Felda Pengeli Timur, dekat Kulai, Selasa. Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Tinggi Hairul Azhar Mohamad mengarahkan perintah tahanan reman itu berkuat kuasa sehingga 16 Ogos ini. Suspek berusia 19 tahun yang merupakan cucu kepada mangsa melarikan diri ke kawasan ladang sawit berhampiran Felda Pengeli Timur, sejurus kejadian berlaku. Dia bagaimanapun ditahan di kawasan itu pada 8.20 malam tadi selepas gerakan memburu dilancarkan. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman memberitahu suspek sebelum itu didapati memenggal kepala neneknya menggunakan sebilah pisau berukuran antara enam hingga tujuh inci panjang, sebelum meletakkan kepala tersebut di hadapan pintu masuk rumah. Tubuh mangsa pula berada di bawah sinki di ruang dapur dengan kedua kakinya telah dipotong di bahagian paha tetapi tidak putus. Kedua-dua tangan mangsa juga dipotong dengan hanya sebelah kiri masih berada di sisi tubuh mangsa. Rahmat berkata suspek bertindak demikian kerana dipercayai mengalami gangguan mental dan dikatakan tidak memakan ubat sejak beberapa bulan lalu.