suria

Kakitangan PPK Maut Disengat Ratusan Tebuan Tanah

BESUT: Seorang kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai, Jerteh meninggal dunia petang semalam (Khamis) selepas disengat ratusan  ekor tebuan tanah ketika melakukan kerja membajak di Kampung Gong Medang, dekat sini, Isnin lalu.

Mangsa, Mohamad Ishak, 61, yang kritikal dan koma meninggal dunia pada kira-kira 2.20 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Isteri mangsa, Mariam Ahmad, 54, yang dihubungi berkata suaminya disengat tebuan apabila jentera bajaknya terlanggar sarang tebuan tanah ketika sedang  membajak tanah pertanian di kampung tersebut.

"Suami saya yang bekerja dengan PPK Gerai tidak menyedari terdapat sarang tebuan tanah di situ dalam kejadian pada kira-kira 3 petang," katanya.

Mariam berkata suaminya tidak sempat melarikan diri menyebabkan dia dihurung dan disengat tebuan tersebut tetapi beliau masih sempat menghubungi anaknya.

"Ketika anak saya tiba di situ keadaan suami amat lemah tetapi masih sedar sebelum arwah dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan," katanya.

Katanya, suaminya kemudiannya di rujuk ke HSNZ pada petang hari Selasa untuk rawatan lanjut tetapi meninggal dunia petang semalam.

Jenazah dibawa pulang ke Kampung Lapan Kotak dan dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu selepas Isyak, semalam.

Mohamad meninggalkan seorang balu dan 11 anak berusia 11 hingga 38 tahun.

tebuan tanah

Artikel Lain