suria

Kesihatan Tun M Bertambah Baik - IJN

Tun Dr Mahathir Mohamad
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan jangkitan dada kini beransur sembuh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, IJN memaklumkan bahawa bekas perdana menteri itu terus bertindak balas dengan baik terhadap rawatan yang diberikan.

"Selain fisioterapi, Dr Mahathir juga kini sedang menjalani latihan fizikal secara rutin. Doktor gembira dengan kemajuan yang dicapainya," menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir kini dirawat di wad umum.

IJN berkata berdasarkan nasihat pakar perubatan, lawatan hanya dibenarkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja.

Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri di negara ini selama 22 tahun sehingga beliau meletak jawatan pada tahun 2003, telah menjalani dua pembedahan jantung.

Sejak beberapa bulan lalu, beliau sentiasa sibuk kerana terlibat dalam pembentukan parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Lain