suria

JLKN Setuju Pelatih Dilarang Main Pokemon Go

PETALING JAYA: Kepadatan jadual dapat menghalang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) daripada melakukan aktiviti melalaikan, termasuk bermain Pokemon Go.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat negara (JLKN) Datuk Mohamed Asri Yusof berkata, setiap pelatih akan terikat dengan modul dan mempunyai masa terhad untuk 'berdamping' dengan telefon bimbit.

"Ketika dalam program mereka tak ada banyak masa untuk benda-benda macam ini.

"Program kita padat dengan modul dan latihan, saya rasa mereka tak sempat untuk lalai atau ketagih dengan permainan itu," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Mohamed Asri mengulas mengenai permainan Pokemon Go yang menjadi kegilaan masyarakat, terutama di kalangan pelajar dan golongan muda pada masa kini.

Bagaimanapun Mohamed Asri berkata, sekiranya kerajaan atau pihak berkuasa melihat keperluan untuk larangan terhadap permainan itu dikeluarkan, pihaknya akan bersetuju.

"Saya rasa perkara ini sudah berada dalam tindakan pihak berkuasa.

"Mereka akan melihatnya dari banyak sudut seperti sosial dan agama serta melihat sejauh mana ia melekakan, melalaikan atau menyebabkan ketagihan kepada pemain," katanya.

Menurut Mohamed Asri, setakat ini pelatih tidak disekat daripada membawa atau menggunakan telefon bimbit, tetapi diingatkan untuk tidak menggunakannya ketika mengikuti program dan latihan.

"Mereka bukan macam kita yang boleh sentiasa pegang telefon, selalunya hanya boleh guna telefon bila ada masa lapang, bila tiada program, pada waktu rehat atau hujung minggu," katanya.

Seramai 20,000 pelatih PLKN telah mengikuti Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 telah menamatkan latihan Fasa 1 di 79 kem di seluruh negara pada Mei lalu.

Bagi Fasa 2, ia dilakukan secara berperingkat dengan program ditawarkan oleh 10 kementerian dan agensi kerajaan, melibatkan 400 buah Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Artikel Berikut

Artikel Lain