KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus komited kepada perjanjian perdamaian Bangsamoro selama mana yang dikehendaki, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib berkata kedamaian dan keharmonian akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Mindanao dan kaum Bangsamoro, tetapi juga Filipina dan rantau ini. "Kami menggesa semua pihak supaya terus memburu matlamat ini," katanya dalam kenyataan yang menyambut baik pelancaran semula Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro, Sabtu. "Saya amat berbesar hati apabila anggota panel pelaksana baharu Kerajaan Filipina dan wakil Barisan Pembebasan Islam Moro bertemu di Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Ogos untuk melancarkan semula secara rasmi Fasa Pelaksanaan Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro," katanya. Najib berkata penyelesaian secara aman terhadap konflik yang berlarutan sejak sedekad lepas yang mengorbankan beribu-ribu nyawa, merupakan suatu pencapaian bersejarah. "Malaysia berasa bangga menjadi pemudahcara rundingan yang telah menyumbang kepada wujudnya keselamatan dan kestabilan yang lebih baik di Mindanao, Filipina dan rantau ini," kata perdana menteri. Beliau berkata Malaysia menghormati kedaulatan negara lain dan menganggap campur tangan asing ke dalam hal ehwal dalaman negeri lain adalah salah. "Bagaimanapun, apabila diminta oleh Kerajaan yang merupakan sahabat dan jiran, kami sukacita untuk menyediakan segala bantuan yang boleh," katanya. Najib berkata keazaman yang ditunjukkan oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan wawasannya untuk mewujudkan pelan hala tuju perdamaian yang baharu tetap penting. "Meskipun sememangnya ada cabaran yang mendatang, saya yakin bahawa di bawah kepimpinan Presiden Duterte, dan dengan Malaysia berpegang teguh kepada peranannya sebagai orang tengah yang jujur, suatu era baharu pembangunan dan kemakmuran di selatan Filipina akan dapat dicapai," kata Najib.