suria

#AnakAnakMalaysia: Peserta Bertuah Bawa Pulang Hadiah Lumayan

KUALA LUMPUR: Seramai 64 peserta bertuah acara jalan kaki #AnakAnakMalaysia 2016 membawa pulang hadiah lumayan selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah di sini, Ahad.

Pengacara majlis, Jeremy Teo diumumkan sebagai pemenang kesembilan bagi hadiah utama dalam acara itu.

Pemenang hadiah utama, Nur Amira Jamahuni menjerit keseronokan ketika berjalan ke atas pentas selepas diumumkan sebagai pemilik baharu sebuah kereta Proton Suprema S.

"Saya amat gembira, ia masih memeranjatkan saya," katanya.

Nur Amira nyaris beredar lebih awal selepas anak kepada rakan setugasnya, Zakiah Safri mahu pulang ke rumah.

"Saya hampir pulang sebelum memutuskan untuk menunggu seketika. Saya tidak menduga akan menerima hadiah utama ini," katanya.

Beliau merancang untuk menghantar kereta baharunya itu ke pusat cuci kereta selepas ini dan kereta lamanya akan diberikan kepada ibu bapanya.

Pemenang hadiah kedua, Lye Ming Rong, 14, membawa pulang sebuah televisyen Panasonic Smart LED.

"Saya amat bertuah dan ini merupakan acara yang menyeronokkan," katanya.

Ming Rong berkata dia menyertai acara jalan kaki ini untuk kekal cergas selain memuji penganjurannya yang menggalakkan perpaduan di antara rakyat Malaysia.

Sementara itu, pemenang hadiah ketiga, Sriviknesh Rajenthiran, 29, pula memenangi alat penyaman udara Panasonic Premium Inverter.

"Saya amat gembira dan tidak menduga menjadi yang bertuah kerana saya menyertai acara ini pada saat akhir," katanya.

Artikel Lain