suria

Hamsiah Tabah Hadapi Dugaan Anak Diculik Abu Sayyaf, Rumah Terbakar

Masih berharap: Hamsiah bersama cucunya berusia tiga tahun, Norizah Batishah Faisal di Kg Pukat di Tanjung Batu, Tawau.

TAWAU: Hidup ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib yang dilalui Hamsiah Lahapi apabila terpaksa berdepan saat getir akibat kehilangan anaknya yang didakwa diculik ketika belayar dan seterusnya 10 hari kemudian, kediamannya pula musnah dalam kebakaran.

Rumah kayu Hamsiah di Kampung Pukat dekat Tanjung Batu, di timur bandar Sabah itu musnah bersama puluhan rumah lain dalam kebakaran pada 29 Julai lalu.

Kemusnahan rumahnya berlaku selepas anak ketiganya Fandy Bakran, 26, hilang bersama empat anak kapal bot tunda yang lain berhampiran Lahad Datu pada 18 Julai.

Mereka dipercayai diculik kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dan dibawa ke kubu kuat pengganas itu di Pulau Jolo di selatan Filipina.

Setakat ini, tiada sebarang petunjuk mengenai nasib yang menimpa Fandy bersama anak kapal lain, Tayudin Anjut, 46, Mohd Ridzuan Ismail, 32, Abdul Rahim Summas, 62, dan Mohd Zumadil Rahim.

"Saya risau kerana tidak tahu apa yang berlaku kepada anak saya. Saya tidak tahu sama ada dia sihat atau tidak," katanya ketika ditemui di gelanggang sepak takraw Kampung Pukat di mana dia kini tinggal bersama sepupunya selepas rumahnya musnah dalam kebakaran akhir bulan lalu itu.

Tambah wanita berusia 50 tahun itu lagi, dia tidak dapat menahan rasa pilu apabila memikirkan masih tiada sebarang petunjuk mengenai kehilangan anaknya itu.

Hamsiah yang bekerja sebagai pencuci di sebuah hotel di bandar ini bagaimanapun percaya beliau perlu tabah demi menjaga anak-anaknya yang lain.

Pada masa sama beliau berharap kerajaan dapat membantu dan membawa anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

"Saya bukan nak minta kerajaan untuk bantu saya bina rumah baharu. Saya boleh usaha sendiri dengan bantuan anak-anak yang lain, tetapi tolong, tolonglah bawa Fandy dan rakan-rakannya pulang ke rumah," kata Hamsiah.

Hamsiah yang mempunyai lima anak kesemuanya menyifatkan Fandy sebagai seorang yang baik  dan pemalu.

Beliau berkata, Fandy bekerja sebagai konduktor bas di Puchong, Selangor, kira-kira lima tahun sebelum dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah kira-kira setahun yang lalu.

"Dia beritahu mahu menjaga saya kerana masih bujang dan abangnya semua sudah berkeluarga," katanya, selepas memberitahu anaknya itu bekerja sebagai anak kapal bot tunda kerana bapa saudaranya juga melakukan pekerjaan yang sama.

Fandy, katanya, ada merancang untuk mengubahsuai rumahnya sebelum dia diculik.

"Saya berdoa setiap hari untuk anak saya pulang dengan selamat dan berharap ia akan berlaku tidak lama lagi," katanya.

abu sayyaf, culik

Artikel Sebelum

Artikel Lain