PADANG RENGAS: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penubuhan parti-parti baharu akan memberi impak positif kepada Barisan Nasional (BN). Katanya kewujudan parti baharu akan memecahkan undi pembangkang yang akan berebut kerusi sesama sendiri untuk bertanding pada pilihan raya. "Pandangan saya berbeza. "Tubuhkanlah lebih banyak parti baharu sebab mereka ini (parti) akan masuk sebagai pembangkang, maka dengan ini, apabila pilihan raya mereka akan memecahkan undi pembangkang kerana akan berebut sesama sendiri untuk bertanding di sesuatu kerusi dan ini memberi kelebihan kepada BN," katanya. Mohamed Nazri menjawab soalan mengenai penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas 2016 oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin di sini, Ahad. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata prinsip kesetiaan terhadap Umno perlu diterapkan dalam kalangan kepimpinan parti sendiri agar tiada yang akan berpaling tadah apabila tidak lagi memegang sebarang jawatan kelak. Katanya, bagi anggota di peringkat akar umbi, sokongan yang diberikan kepada pemimpin dan parti sememangnya amat kuat. "Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) terus berkuasa adalah hasil kesetiaan ahli Umno. Saya rasa kesetiaan akar umbi cukup mantap, tetapi perkara ini (kesetiaan) harus diingatkan kepada pemimpin. "Banyak yang mengkhianati parti sekarang adalah daripada kalangan (bekas) pemimpin Umno sendiri. Misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Rafidah Aziz," katanya. Sementara itu, Mas Ermieyati berkata pihaknya akan terus mendekati golongan muda sekali gus membawa mereka bersama-sama menyertai perjuangan Umno dalam memartabatkan kaum Melayu. "Paling penting kita tidak mahu mereka ini terpengaruh dengan media sosial, kita mahu mereka sedar hanya Umno dan BN yang dapat membantu membangunkan mereka," katanya.