suria

Ahli JMM Ditahan Timbulkan Kekecohan Di Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Satu kekecohan kecil berlaku di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa selepas anggota Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mencabar arahan polis yang meminta mereka meninggalkan lobi mahkamah.

Kira-kira 20 ahli JMM telah mengadakan bantahan di lobi mahkamah pada pukul 9.30 pagi, menuntut bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan penglibatannya dalam kes perceraian melibatkan bekas hakim Stanley Clementine Augustin dan isterinya Nika Gee.

Kes Augustin dijadual didengar pada Selasa, tetapi mahkamah menangguhkan pengurusan kes hingga 6 September kerana Gee baharu melantik peguam pada Isnin.

Peguam yang mewakili Gee adalah Choo Dee Wei dan Bryan Ng.

Orang ramai mula sukar dikawal pada jam 11 pagi selepas polis membuat lebih dari tiga kali permintaan untuk mereka meninggalkan kawasan lobi.

Mereka kemudian ditempatkan di dalam van polis yang sedang menunggu di pintu masuk.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Manusamy Rengasamy berkata mereka ditahan di Balai Polis Sentul.

"Kami telah memberi amaran supaya mereka bersurai secara aman lebih dari tiga kali, tetapi mereka tidak mematuhinya dan mengganggu prosiding mahkamah di sini," katanya.

"Mereka akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Kami juga akan memberikan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya, sambil menambah pihak polis turut merampas semua kain rentang mereka.

Artikel Lain