suria

Projek Kereta Kabel Port Dickson Dibatalkan - Mohamad

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membatalkan projek pembinaan kereta kabel yang menghubungkan Pulau Arang ke PD Waterfront, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau mengumumkan projek itu dibatalkan kerana kos pembinaannya yang terlalu tinggi selain pulangan pelaburannya yang dijangka amat lewat.

"(Oleh itu), kita akan bangunkan Port Dickson dengan cara lain," katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, Rabu.

Mohamad berkata kerajaan negeri akan merancang produk pelancongan lain yang boleh menarik ramai pelancong datang ke Port Dickson.

Projek kereta kabel itu, yang merentasi laut sejauh satu kilometer, dirancang sebagai tarikan di bandar baru PD Waterfront. Mengikut perancangan, kawasan PD Waterfront dan sekitarnya akan ditransformasikan sebagai PD Vista menjelang 2019.

Ketika ini, bangunan unit komersil PD Waterfront sudah memulakan operasi dan menjadi pilihan pengunjung ke kawasan pantai itu.-- Bernama



Artikel Lain