PUTRAJAYA: Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Malaysia memainkan peranan penting bagi memajukan negara ini namun keadaan itu tidak akan menjadikan kerajaan leka dengan kejayaannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri berkata melalui kreativiti dan inovasi hasil daripada prinsip, kerangka kerja dan perkakasan NBOS, usaha mentransformasikan seluruh negara kini menjadi kenyataan. "Seluruh negara telah mendapat manfaat daripada usaha yang kami lakukan melalui NBOS dan saya telah lihat perubahan masyarakat di setiap bandar dan desa, hasil daripada lawatan saya ke seluruh negara. "Saya amat berbangga dengan setiap usaha oleh semua pihak yang menjadikan usaha transformasi ini menjadi kenyataan. "Kami telah melihat manfaatnya bekerjasama dengan cara ini, dan kami mahu untuk memperluaskan pendekatan ini tentang bagaimana kami melibatkan diri dengan rakan-rakan kami dan seluruh dunia," katanya dalam ucapan penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) di sini Rabu. Ahmad Zahid menegaskan bahawa Malaysia telah mengaplikasikan prinsip, kerangka kerja dan perkakasan NBOS di lebih 80 kementerian dan agensi dan sektor swasta untuk hasil berimpak tinggi pada kos yang rendah dan bagi memenuhi Wawasan 2020. (Matlamat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020). Menurut beliau, dalam usaha menjadikan NBOS terus berkembang sebagai daya penggerak utama di sebalik Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020), lebih banyak agensi kerajaan digalakkan untuk menjalin kerjasama kreatif bagi menangani isu-isu sosioekonomi. Ahmad Zahid berkata kerjasama ini akan membawa mereka dalam proses pembangunan negara selain menyokong usahawan bagi mengangkat Malaysia ke fasa seterusnya bagi membangunkan negara. Menyentuh mengenai peranan inovasi dalam pembinaan negara, Ahmad Zahid menjelaskan dengan meletakkan matlamat transformasi di minda, kepimpinan perlu datang dari peringkat atasan agar menjadikan kreativiti sebagai satu pergerakan kebangsaan. "Dalam dunia yang saling berhubungan hari ini, idea-idea kreativiti dan kerjasama sentiasa menjadi satu perkara yang begitu penting. Para pemimpin yang berjaya di Malaysia, semuanya memahami tentang keperluan untuk melakukan sesuatu yang berbeza, bagi mencabar status quo, dan untuk memupuk budaya inovasi," katanya. Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid menyeru pemimpin muda untuk meneruskan usaha inovasi bagi menjayakan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju. "Ini terutamanya adalah benar bagi para pemimpin prospektif, yang akan mengambil tampuk kepimpinan negara pada masa depan. Atas sebab ini, saya menyeru semua pemimpin muda Malaysia yang bijak pandai agar bangun bagi menyahut cabaran ini," katanya. ICBOS yang bertemakan: 'Mentransformasi Negara mealui Kreativiti dan Inovasi' diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Persidangan itu memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi bagi menggubal dan melaksanakan dasar dan inisiatif nasional di samping menampilkan ucaptama, perbincangan panel oleh pemimpin-pemimpin negara, penceramah terkenal dan pakar-pakar di peringkat global dari seluruh dunia.