suria

Kurangkan Bayaran Perkhidmatan Uber, GrabCar - Abdul Wahid

Tan Sri Abdul Wahid Omar
PUTRAJAYA: Khidmat kongsi kereta sewa seperti Uber dan Grab Car perlu menurunkan bayaran perkhidmatannya bagi membantu pemandu meraih pendapatan lebih lumayan, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

"Uber mengambil kira-kira 25 peratus (sebagai yuran perkhidmatan) daripada pemandu. Mereka sepatutnya boleh ambil kurang dari itu," katanya berdasarkan pengalamannya sebagai pemandu Uber.

Bekas menteri itu memandu Uber untuk tujuan amal dan mempromosi Proton Perdana yang baru dilancarkan sebaik saja penggal perkhidmatannya sebagai senator tamat baru-baru ini.

"Ia sesuatu yang selama ini ingin saya alami. Penggunaan teknologi dan kongsi sewa. Tetapi saya tidak boleh lakukan itu semasa menjadi menteri," kata beliau berseloroh semasa syarahan jamuan tengah hari berjudul "Mentransformasi Negara menerusi Kreativiti dan Inovasi".

Majlis itu diadakan bersempena Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) 2016 di sini hari ini.

"Saya memandu kira-kira 11 jam dan melakukan hanya 17 trip dengan mampu mendapat RM210, RM10 daripadanya untuk bayar tol, RM5O diambil oleh Uber (sebagai yuran perkhidmatan) dan tinggal RM150 untuk saya," kata beliau.

Abdul Wahid berkata, kaedah mendapatkan penumpang menggunakan teknologi dan aplikasi seperti Uber dan Grab Car pastinya membantu meningkatkan pendapatan pemandu teksi biasa.

Aplikasi kongsi sewa semakin popular di sini dan di seluruh dunia dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru mengemukakan cadangan untuk menjadikan Uber dan Grab perkhidmatan sah di Malaysia.

Artikel Lain